Pengurusan skim Lembaga_Kemajuan_Tanah_Persekutuan

FELDA New Zealand di Pahang.FELDA Ulu Tebrau di Johor.

FELDA mempunyai tiga peringkat pengurusan iaitu :

  • Ibu Pejabat
  • Pejabat Kawasan
  • Rancangan

Peserta rancangan Felda digelar Peneroka felda dipilih daripada kalangan orang Melayu termiskin di luar bandar.[5] Mereka perlu sihat, berumah tangga, dan antara umur 21 hingga 50 tahun, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak bertanah untuk berladang.[2] Peneroka baru diberikan tanah sebanyak 10 ekar (40,000 m²) di petempatan yang tertentu untuk mengerjakan ladang pokok getah atau kelapa sawit khususnya.[6] Semua peneroka diperlukan tinggal di kawasan petempatan, dan diperuntukkan 0.25 ekar (1,000 m²) di sebuah kampung terancang yang telah dibina oleh FELDA. Walaupun pada suatu ketika, infrakstruktur asas seperti air paip dan elektrik tidak dibekalkan,[7], kemudahan tersebut kini diberikan, termasuk juga sekolah, pusat perubatan, dan surau.[8]

Pada asalnya, skim-skim FELDA direka bentuk sebagai koperasi yang sebagai ganti untuk setiap peneroka memiliki tanah sendiri, mereka memiliki sebahagian pemilikan yang sama bagi skim mereka. Bagaimanapun, peneroka-peneroka tidak suka akan skim ini kerana pekerja-pekerja yang tidak berusaha masih akan menerima manfaat yang sama. Oleh itu, kerajaan kemudian mencipta sebuah rancangan yang terdiri daripada tiga fasa. Dalam fasa pertama, koperasi itu masih merupakan mekanisme bagi peneroka-peneroka belajar bagaimana berladang. Dalam fasa kedua, setiap peneroka diberikan tanah tertentu dan dalam fasa ketiga, mereka diberikan hak milik tanah mereka.[2] Bagaimanapun, peneroka-peneroka dilarang menjual tanah tanpa kebenaran FELDA atau kerajaan persekutuan.[9]

Kos memperoleh dan memajukan tanah ditanggung oleh peneroka FELDA melalui pinjaman yang dibayar balik melalui ansuran-ansuran bulanan yang dipotong daripada pendapatan peneroka selama 15 tahun.[7]

Walaupun peneroka-peneroka harus menumpukan kegiatan-kegiatan mereka pada pertanian, telah dilaporkan bahawa sebilangan besar juga terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang lain seperti berkedai dan berniaga. Terdapat juga mereka yang bekerja di luar petempatan.[7] Pada tahun-tahun kebelakangan ini, pertumbuhan kawasan-kawasan bandar telah menyebabkan peningkatan nilai tanah yang amat besar bagi sebilangan petempatan. Dengan kebenaran, banyak peneroka telah menjual ladang mereka dan menjadi jutawan segera.[2]

Sumber kewangan bagi membiayai projek-projek pembangunan oleh FELDA diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan, Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, Tabung Kerajaan Kuwait, Tabung Pembangunan Arab Saudi dan lain-lain. Wang ini diperolehi dalam bentuk pinjaman untuk membiayai kerja-kerja pertanian, pembinaan kilang dan perumahan peneroka.Peneroka tidak dikenakan sebarang potongan untuk kos pengurusan. Kos pengurusan dibiayai dengan peruntukan yang diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan.Bagi Hak peneroka pula, FELDA hanya akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya dikeluarkan surat hak milik setelah peneroka menunaikan tanggungjawab sebagai peneroka dan selesai membayar kembali kos pembangunan kepada FELDA termasuk bayaran Cukai Tahunan Yang Disatukan kepada Kerajaan Negeri. Bagi peneroka yang telah menerima surat hak milik, apabila berlaku kematian, pembahagian kawasan pegangan kepada waris-waris simati akan diuruskan oleh pejabat tanah daerah yang berkenaan. Bagi peneroka yang belum menerima surat hak milik ianya akan diuruskan oleh unit pesaka kecil Pejabat Daerah dengan kerjasama Pengurus Rancangan.Kerajaan telah membuat keputusan tidak lagi melaksanakan pengambilan peneroka baru mulai 1 Januari 1990 di semua tanah rancangan seluruh negara. Keputusan kerajaan adalah berdasarkan sumber kewangan yang terhad untuk membiayai projek pembangunan dan infrastruktur di tanah rancangan. Rancangan yang tiada berpeneroka diuruskan oleh FELDA dan hasilnya digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan segala projek infrastruktur di tanah rancangan.